Tuesday, December 27, 2011

KISAH PEKENA SUP

Suatu hari, seorang isteri yang begitu marah kepada suaminya telah memasak sup yang begitu pedas untuk menyeksa suaminya dengan kepedasan. Suaminya amat suka akan sup dan pasti akan menghirup sup tersebut dengan banyak dan kemudian akan menderita rasa kepedasan yang hebat.

Namun, ketika sup tersebut siap dihidang, si isteri sendiri yang tidak tahan dengan aroma sup tersebut, terlupa bahawa sup itu amat pedas. Beliau dengan gelojohnya terlebih dahulu menjamah dan menghirup sup yang pedas itu sehingga menitis air mata lantaran kepedasan.

Melihat air mata si isteri yang berlinangan bagai aliran anak sungai itu, si suami pun bertanya.

"Kenapa dinda menangis?"

"Terkenang arwah ibu yang ketika hidup dulu sering memasak sup sesedap ini", jawab si isteri terketar-ketar menahan kepedasan.

Melihat telatah si isteri yang tadinya begitu berselera menghirup sup tersebut, si suami pun menghirup sup tersebut dengan tidak kurang juga lahapnya sehingga turut bercucuran air mata lantaran kepedasan. Puas hati dengan apa yang berlaku, si isteri bertanya, "Kenapa kanda juga menangis?"

Jawab si suami, "Terkenang arwah ibumulah juga. Sepatutnya ketika dia hendak mati dahulu, dia bawa engkau sekali."

notakaki: Carilah jalan penyelesaian yang aman dan terbaik untuk setiap pertelingkahan. Bergaduh dan berdendam bukanlah jalan kepada keharmonian. Sifat begini hanya berpotensi menyemarakkan lagi api ketegangan. =)

No comments:

Post a Comment