Tuesday, May 3, 2011

KISAH PIL AWET MUDA !

   Seorang isteri yang semakin terasa kedinginan suami terhadapnya mula mengambil tindakan proaktif. Teringat si isteri ini, ketika baru mendirikan rumah tangga 25 tahun dahulu, jika suaminya pergi ke surau, dia akan segera pulang selepas imam habis sahaja membaca doa.

   Sekarang kalau pergi solat waktu isyak di masjid, kadang-kadang lepas subuh pun tak tentu balik. Kebetulan anak perempuan mereka sedang menyambung pengajian di peringkat ijazah tinggi dalm bidang bio-tech di kampus UiTM, Shah Alam, si ibu pun mengadulah hal tersebut kepada anaknya, moga-moga ada jalan penyelesaian. Kebetulan pula bidang kajian si anak adalah berkaitan pil awet muda.

   Mendengar sahaja rintihan ibunya, si anak terus menjadikan ibunya sebagai uji kajian Ph.Dnya. Dia telah mengirim empat biji pil yang mengikut kajiannya sebiji pun sudah cukup untuk mengembalikan kemudaan usia ibunya sehingga 15 tahun. Dia turut menasihati ibunya untuk memakan  sebiji sahaja dahulu sambil melihat tindak balas ubat tersebut untuk beberapa bulan.

   Si ibu mematuhi peraturan preskripsi yang dicadangkan. Wah! Ternyata ubat itu bagaikan hikmat abad ke-21. Si ibu yang berusia 45 tahun terus bertukar bagai perawan jelita berusia 30 tahun. Perubahan mendadak ini telah juga membawa perubahan yang lagi mendadak kepada si suami. Nostalgia lama berulang kembali. Sekarang kalau pergi ke surau, tak sempat pun imam membaca doa, dia sudah pun berada di rumah. Kadang-kadang sampai tidak pergi ke surau langsung!

   Si ibu terlalu gembira dengan perkembangan positif ini hingga terlupa untuk memberitahu perkembangan ujian terhadap pil berkenaan kepada anaknya yang sentiasa teramat sibuk dengan kajiannya. Si suami yang terlalu kagum dengan perubahan isterinya cuba mengorek rahsia resipi perubahan mendadak tersebut. Pada suatu hari, bukan sekadar resipi, pil yang disimpan si isteri turut dijumpainya. Dengan gelojohnya, ketiga-tiga pil yang baki itu ditelannya sekali gus.

EMPAT BULAN KEMUDIAN.......

   Si anak kembali ke kampung halaman untuk mengahabiskan cuti semester hampir dua bulan. Apabila sampai di rumah, dia hampir tidak mengenali ibunya yang berwajah baru saling tak tumpah seperti dirinya. "Ini ibulah...., mujarab betul ubat engkau," sampuk si ibu dengan kegirangan dan keceriaan menyambut kepulangan anaknya. Sambil meletak begnya di ruang tamurumah, si anak ternampak seorang kanak-kanak kecil bermisai lebat sedang bermain bola mainan lalu terus bertanya : "Anak siapa ni mak?"  "Itu bapa kamu ler...."

Ayah aku???


Pengajaran: Kita sentiasa dianjur bersederhana dalam semua hal!

Rasulullah bersabda yang bermaksud;
Tiga perkara yang menyelamatkan : a) takut kepada Allah S.W.T di waktu sunyi dan terang-terangan
                                                      b) adil di waktu tenang dan marah
                                                      c) sederhana di waktu fakir dan kaya
Dan tiga perkara yang merosakkan: a) hawa nafsu yang diperturutkan
                                                       b) kikir yang ditaati
                                                       c) kekaguman seseorang terhadap dirinya

Gurindam Dua Belas.....oleh Raja Ali Haji rahimullah

Apabila banyak berkata-kata,
Di situlah jalan masuk dusta.

Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
Itulah tanda hampir duka.

Apabila kita kurang siasat,
Itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang,
Itulah tanda dirinya kurang.

Apabila orang yang banyak tidur,
Sia-sia sahajalah umur.

Apabila perkataan yang lemah lembut,
Lekaslah segala orang mengikut.

Apabila perkataan yang amat kasar,
Lekaslah orang sekalian gusar.

Apabila pekerjaan yang amat benar,
Tidak boleh orang membuat honar.

No comments:

Post a Comment